Sekolah di enam negeri, Kuala Lumpur dan Putrajaya beroperasi esok

SESI persekolahan di Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Pulau Pinang serta Kuala Lumpur dan Putrajaya beroperasi seperti biasa esok, namun aktiviti luar di beberapa kawasan ditangguhkan susulan jerebu.

Bernama melaporkan, di NEGERI SEMBILAN, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) beroperasi seperti biasa, namun Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan dalam tempoh ini hendaklah ditangguhkan dan dijadualkan semula oleh sekolah.

Penangguhan itu turut meliputi semua peperiksaan dalaman sekolah, selaras dengan kenyataan KPM bertarikh 15 Oktober manakala semua aktiviti luar bilik darjah hendaklah dihentikan sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100.

Di MELAKA, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah pentadbirannya beroperasi seperti biasa dengan semua aktiviti luar ditangguhkan, manakala pentadbir perlu memantau bacaan IPU daripada Jabatan Alam Sekitar serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.

Di SELANGOR, JPN negeri itu turut memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah pentadbirannya beroperasi seperti biasa dengan semua aktiviti luar ditangguhkan, manakala pentadbir diminta memantau bacaan IPU serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan KUALA LUMPUR memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah KPM beroperasi secara bersemuka seperti biasa, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan.

Untuk PUTRAJAYA, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) memaklumkan semua sekolah di bawah pentadbirannya beroperasi seperti biasa dengan aktiviti luar ditangguhkan, manakala jabatan itu bersama pentadbir sekolah akan memantau bacaan IPU secara berkala serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.

Di PAHANG, JPN memaklumkan sekolah di Rompin, Bentong dan Cameron Highlands beroperasi esok dengan semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan, manakala sekolah di daerah lain beroperasi seperti biasa dan sebarang perubahan akan dimaklumkan melalui Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.

JPN PERAK pula memaklumkan semua sekolah beroperasi seperti biasa esok dan meminta semua pihak terus peka terhadap perkembangan semasa serta mematuhi nasihat pihak berkuasa berkaitan jerebu.

Di PULAU PINANG, JPN memaklumkan semua institusi pendidikan beroperasi seperti biasa esok serta menggalakkan murid minum air secukupnya. Pihak sekolah diminta memastikan bekalan air minuman mencukupi, manakala jabatan itu akan terus memantau perkembangan kualiti udara.

Pemakaian pelitup muka turut digalakkan dalam kalangan murid serta warga sekolah sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi mereka yang mengalami gejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko.

Jabatan pendidikan di Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang serta Kuala Lumpur dan Putrajaya turut memberikan pilihan kepada ibu bapa atau penjaga yang bimbang tentang kesihatan anak untuk tidak menghantar mereka ke sekolah, dengan syarat memaklumkan pihak sekolah.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, keputusan penutupan sekolah susulan jerebu ditentukan bersama oleh KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berdasarkan kepakaran masing-masing.

Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira pemantauan kualiti udara dan risiko kesihatan murid, selain kesan terhadap pembelajaran sekiranya sekolah ditutup terlalu lama.

Sementara itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menggesa kerajaan, sektor swasta serta komuniti setempat mengambil langkah proaktif dan tindakan kolektif bagi menangani kesan fizikal serta psikologi jerebu terhadap pelajar dan keluarga.

Menerusi titah perutusan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar malam tadi, Seri Paduka Baginda turut menekankan kerjasama komuniti bagi memperkasakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta perancangan strategi jangka panjang bagi menghadapi jerebu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here