Murid Tahun Satu meninggal dunia: JPN Selangor beri kerjasama penuh bantu siasatan

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menegaskan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung insiden kematian seorang murid perempuan Tahun Satu di sebuah sekolah di Dengkil, semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, JPN Selangor memaklumkan bahawa murid berkenaan dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas sebelum segera dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

“JPN Selangor merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita kepada keluarga murid berkenaan.

“Pada masa sama, JPN Selangor akan memastikan kebajikan keluarga murid berkenaan diberikan perhatian sewajarnya termasuk bantuan dan sokongan psikososial mengikut keperluan,” kata kenyataan tersebut.

Media hari ini melaporkan, seorang murid perempuan Tahun Satu meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di sebuah sekolah dekat Dengkil semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada jam 7.30 malam.

Menurutnya, mangsa diberikan bantuan awal pernafasan di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

JPN Selangor dalam pada itu turut menambah bahawa perhatian dan sokongan kebajikan seumpamanya akan disalurkan kepada seluruh warga sekolah yang terkesan akibat kejadian berkenaan.

Menurutnya, pihak jabatan menggesa orang ramai agar menghentikan sebarang penyebaran spekulasi yang boleh mengganggu emosi keluarga mangsa serta menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak polis.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian itu.

“Semua pihak diminta menghormati privasi keluarga serta memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” tegas kenyataan itu lagi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here