SELEPAS melakukan serangan ke atas Tentera Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, rejim Zionis meneruskan kebiadaban sikap tidak bertamadun mereka apabila menyerang sebuah kenderaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di selatan Gaza hari ini.
Tindakan rejim yang disokong oleh Amerika Syarikat itu menyebabkan seorang pemandu Palestin terbunuh dan mencederakan beberapa yang lain.
Kejadian itu berlaku ketika Zionis mara dan memperhebatkan serangan mereka di kawasan tersebut. Sebagai tindak balas, WHO mengumumkan penggantungan pemindahan perubatan rakyat Palestin melalui lintasan Rafah.
Sumber tempatan melaporkan bahawa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan milik WHO di sepanjang Jalan Salah al-Din di selatan Gaza, mengorbankan pemandu tersebut.
Mereka menambah bahawa kereta kebal Israel mara di kawasan yang sama, menyasarkan penduduk dan kenderaan, serta mencederakan beberapa orang.
Menurut sumber tersebut, WHO kemudiannya mengumumkan penggantungan pemindahan perubatan pesakit Palestin dan mereka yang cedera melalui lintasan Rafah dengan Mesir susulan serangan itu.
Terdapat peningkatan mendadak dalam serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza yang dilanda perang.
Hampir enam bulan selepas gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober, pendudukan Israel terus meneruskan perang genosid terhadap wilayah Palestin itu, membunuh ratusan orang dan menyekat kemasukan bantuan yang amat diperlukan, tanpa sebarang jeda dalam serangan atau penderitaan.
Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata lebih daripada 2,070 kali. Purata jumlah pelanggaran yang dilakukan oleh tentera Israel telah mencecah 13.1 pelanggaran setiap hari, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza.
Tentera Israel telah membunuh lebih daripada 710 rakyat Palestin dalam tempoh tersebut, termasuk lebih 300 kanak-kanak, wanita, dan warga emas.
Lebih 72,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023.


