Semua ADUN PH Negeri Sembilan diberi tempoh 30 hari pulangkan peruntukan

KERAJAAN Negeri Sembilan sudah menghantar notis kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) kerajaan negeri terdahulu berhubung tuntutan bayaran balik peruntukan yang mereka terima susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 5 Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, notis tuntutan berkenaan dihantar kepada semua wakil rakyat yang terbabit petang semalam.

Beliau berkata, notis itu antara lain mengandungi jumlah yang perlu mereka bayar, namun ia berbeza bagi setiap wakil rakyat terbabit dengan tempoh memulangkan semula diberikan selama 30 hari.

“Pejabat Menteri Besar telah menghantar surat (notis) kepada semua ADUN yang terbabit petang semalam. Mereka harus memulangkan balik bayaran peruntukan itu dalam masa 30 hari dengan jumlahnya berpandukan kepada notis yang diberikan .

“(Jumlah) tidak sama kerana bergantung kepada surat masing-masing. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini hanya mantan Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) yang sudah memulangkan bayaran itu sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di Seremban hari ini, lapor BH.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN daripada kerajaan Negeri Sembilan terdahulu dikehendaki memulangkan semula peruntukan diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Setiap bekas Exco perlu memulangkan RM150,000 bagi peruntukan Ogos dan September, manakala 10 ADUN biasa PH serta dua Penyelaras DUN perlu memulangkan keseluruhan peruntukan bagi tempoh Julai hingga September, masing-masing berjumlah RM174,000 dan RM150,000.

Ismail berkata, wakil ADUN PH iaitu ADUN Nilai, J Arul Kumar ada bertemu beliau baru-baru ini bagi membincangkan isu bayaran balik peruntukan berkenaan.

“Beliau (Arul Kumar) ada minta mempertimbangkan beberapa perkara, termasuk bayaran balik ini (peruntukan),” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here