PEJABAT Menteri Besar Negeri Sembilan mengesahkan telah menerima pulangan wang peruntukan yang tidak dibelanjakan daripada sebahagian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) penggal lalu, termasuk dua Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, semakan di Pejabat Menteri Besar mendapati terdapat ADUN PH yang sudah membuat pemulangan sejak 30 Jun lalu, namun bukan dalam kadar penuh.
“Rekod menunjukkan setakat ini, hanya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sahaja yang telah memulangkan keseluruhan peruntukan yang diterima.
“Memang ada yang sudah pulangkan tetapi mungkin tidak sepenuhnya seperti mana yang disalurkan. Mungkin mereka sudah gunakan untuk bantuan kepada rakyat dan sebagainya,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kepada Ketua Kontinjen dan Pengurus Pasukan ke Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Seremban petang ini.
Ismail semalam mengarahkan semua ADUN dan Penyelaras DUN PH penggal lalu supaya memulangkan semula peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September membabitkan ratusan ribu ringgit susulan pembubaran DUN pada 5 Jun 2026.
Pagi tadi, beberapa ADUN PH Negeri Sembilan daripada pentadbiran terdahulu memohon kerajaan negeri mempertimbangkan semula arahan memulangkan semula peruntukan itu
Wakil ADUN pembangkang, J Arul Kumar dilaporkan berkata, semua wakil rakyat terbabit sudah membelanjakan sebahagian peruntukan berkenaan bagi kebajikan rakyat, malah ada yang sudah menggunakan sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, Pejabat Menteri Besar ketika ini sedang meneliti rekod peruntukan ADUN PH berkenaan dan jumlah baki yang masih belum dipulangkan.
Beliau mengakui setiap ADUN terbabit berbeza dari segi jumlah yang perlu mereka pulangkan.
Katanya, surat akan dihantar kepada setiap ADUN berkenaan yang masih mempunyai baki berdasarkan jumlah sebenar yang direkodkan selepas semakan selesai.
“Surat yang akan dihantar ini nanti tidak sama bagi setiap orang. Ada yang mungkin perlu pulangkan penuh dan ada yang kurang, semuanya bergantung kepada baki setiap DUN masing-masing berdasarkan rekod yang kita simpan,” katanya.




