Integriti perlu dibuktikan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata – SPRM

INTEGRITI perlu menjadi amalan dalam setiap tindakan dan keputusan bagi memastikan organisasi kekal telus, berakauntabiliti serta mendapat kepercayaan masyarakat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pembudayaan integriti bukan tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen seluruh warga organisasi.

DATUK Seri Abd Halim Aman menyempurnakan simbolik penanaman benih integrity sambil disaksikan Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin pada Sambutan Hari Integriti Nasional MACA 2026 bertemakan “Integriti Kita, Nilai Kita” di MACA, Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: SPRM

Beliau berkata, nilai berkenaan perlu diterapkan dalam budaya kerja bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa amalan pilih kasih.

“Justeru, saya berharap sambutan hari ini menjadi peringatan kepada kita semua bahawa integriti bukan hanya untuk diperkatakan, tetapi perlu diamalkan dalam setiap tindakan dan keputusan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) 2026 bertemakan ‘Integriti Kita Nilai Kita’ di MACA, Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR), Datuk Adnan Abu Hassan; Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Datin Yasmin Ahmad Merican serta barisan pengurusan kanan SPRM dan ahli Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO).

Abd Halim dalam pada itu turut menggariskan tiga keutamaan dalam memperkukuh budaya integriti, antaranya kepimpinan organisasi perlu menjadi contoh melalui ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap keputusan.

Selain itu, MACA dan ACeIO perlu meneruskan kerjasama dalam pembangunan kompetensi, perkongsian ilmu serta profesionalisme Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).

Beliau turut menggesa pegawai CeIO dan seluruh warga organisasi supaya lebih proaktif mengenal pasti risiko, mencadangkan penambahbaikan serta mempertahankan prinsip dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Menurutnya, integriti bukan penghalang kepada kemajuan, sebaliknya menjadi asas untuk memastikan pembangunan dilaksanakan dengan betul, sumber digunakan secara bertanggungjawab dan keyakinan masyarakat terhadap institusi negara terus terpelihara.

Beliau turut berharap sambutan berkenaan dapat dijadikan acara tahunan MACA bagi meningkatkan kesedaran serta penghayatan nilai integriti dalam kalangan warga organisasi.

Sambutan itu turut diserikan dengan demonstrasi Terjunan Integriti menggunakan pesawat EC725 AP hasil kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Markas Pemerintahan Operasi Udara, Markas Rejimen TUDM, Pangkalan Udara Jugra, Pasukan Khas TUDM dan No. 10 Skuadron.

Gimik berkenaan disusuli acara penanaman benih integriti oleh Abd Halim sebagai simbolik nilai murni yang perlu disemai dan dipupuk sehingga menjadi amalan kukuh dalam organisasi.

Sementara itu, Pengarah Kanan MACA, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, akademi berkenaan telah melatih 3,333 peserta menerusi program CeIO setakat ini.

Daripada jumlah itu, seramai 1,787 peserta terdiri daripada sektor awam, diikuti 632 daripada syarikat berkepentingan kerajaan (SBK), 507 sektor swasta, 311 pegawai SPRM dan 96 peserta antarabangsa.

Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan MACA dalam meningkatkan profesionalisme pegawai integriti serta keupayaan organisasi mengurus risiko rasuah, memperkukuh kawalan dalaman dan menerapkan etika kerja.

MACA turut merancang membangunkan program Certified Global Integrity Officer (CGIO) pada masa hadapan, tertakluk kepada pemuktamadan struktur, kurikulum dan kelulusan berkaitan.

Presiden ACeIO, Datuk Ahmad Sabri Mohamed pula berkata, pegawai integriti bukan sekadar memastikan pematuhan peraturan, malah memainkan peranan membentuk organisasi yang beretika, berdaya tahan dan dipercayai.

Katanya, tanggungjawab itu perlu diperkukuh menerusi pendidikan integriti, pengurusan risiko rasuah serta pemantapan kawalan dalaman organisasi.

Pada majlis sama, Abd Halim turut melawat pondok pengawal keselamatan dan meninjau beberapa kemudahan MACA termasuk mahkamah simulasi (Moot Court) serta Bilik Temu Bual Video (Video Interviewing Room – VIR).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here