SPRM Sarawak diseru kekal tegas, berintegriti – Abd Halim

SEMUA kakitangan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak perlu terus mempertahankan prinsip tegas dalam tindakan, adil dalam pertimbangan dan berintegriti dalam setiap keadaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, prinsip itu penting bagi memastikan amanah yang diberikan kepada setiap warga SPRM dilaksanakan tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi, tekanan, pengaruh atau kepentingan mana-mana pihak.

DATUK Seri Abd Halim Aman (duduk tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi dan kakitangan SPRM Sarawak ketika mengadakan lawatan rasmi ke pejabat SPRM Sarawak di Kuching hari ini. GAMBAR: SPRM

“Warga SPRM Sarawak perlu terus mempertahankan prinsip tegas dalam tindakan, adil dalam pertimbangan dan berintegriti dalam setiap keadaan,” katanya pada Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Pegawai Kanan SPRM Sarawak di Kompleks Pejabat SPRM Sarawak di Kuching hari ini.

Abd Halim dalam pada itu berkata, usaha membanteras rasuah juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan selepas sesuatu kesalahan berlaku, sebaliknya aspek pencegahan dan pendidikan perlu terus diperkasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen, kesungguhan, dedikasi dan kecekalan warga kerja SPRM Sarawak bagi menjayakan agenda penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan antirasuah.

Dalam sesi berkenaan, Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh turut menyampaikan taklimat berkaitan aspek perjawatan dan pengurusan sumber manusia, prestasi perbelanjaan mengurus, inisiatif pendidikan masyarakat serta perkembangan semasa operasi.

Taklimat itu turut memperincikan cadangan pembinaan Kompleks Pejabat SPRM Sarawak yang baharu dan bakal dilengkapi gudang sitaan selain pelbagai fasiliti pejabat moden dan kondusif bagi menyokong keperluan operasi SPRM Sarawak.

Sesi diakhiri dengan lawatan ke ruangan pameran barang kes dan lokap SPRM Sarawak serta lawatan ke tapak cadangan pembangunan pejabat SPRM Sarawak yang baharu di Jalan Diplomatik, Petra Jaya.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, Katherine Nais.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here