
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima tiga maklumat berkaitan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, daripada jumlah itu, satu maklumat diterima daripada pegawai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang hadir ke pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat.
Beliau berkata, maklumat itu berkaitan dakwaan kesalahan rasuah oleh calon pilihan raya di kawasan berkenaan, manakala dua lagi adalah maklumat umum.
“Kesemua maklumat tersebut sedang kami teliti dan sedang kami siasat mengikut peraturan serta peruntukan undang-undang berkaitan.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan apa juga kesalahan rasuah pilihan raya tanpa mengira kedudukan parti politik ataupun latar belakang individu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
SPRM membuka lima bilik gerakan di Johor Bahru, Segamat, Kluang, Batu Pahat dan Mersing bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan rasuah atau salah guna kuasa sepanjang tempoh pilihan raya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua calon, penyokong dan pengundi supaya mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian.
Katanya, SPRM mahu rakyat keluar mengundi tanpa rasa takut dan gentar serta yakin suara mereka tidak boleh dibeli, dipengaruhi atau diperdagangkan.
“SPRM akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan proses demokrasi melalui amalan rasuah.
“Pilihan raya yang bersih bukan saja menjamin integriti sistem demokrasi, malah memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi,” katanya.






