SPRM siap siaga ancaman siber, perkasa pengurusan persenjataan

TADBIR urus keselamatan, pengurusan persenjataan dan kesiapsiagaan mendepani ancaman siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) diperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, beliau menegaskan komitmen sifar kompromi terhadap perkara itu.

Menurut beliau, aspek keselamatan perlu diperkasa secara berterusan bagi memastikan kesiapsiagaan organisasi sentiasa berada pada tahap optimum.

“Selaras dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2024, Jawatankuasa Keselamatan Perlindungan (JKP) negeri kini diwajibkan melaksanakan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali setahun dan mengemukakan laporan penilaian kendiri secara berkala kepada ibu pejabat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JKP Bilangan 2 di ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam.

Dalam mesyuarat itu, beliau mengingatkan Pegawai Keselamatan Jabatan (PKJ) dan Penolong Pegawai Keselamatan Jabatan (PPKJ) supaya mematuhi sepenuhnya Perkara 32 Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).

Tegas Abd Halim, pematuhan itu merangkumi perlindungan dokumen terperingkat, pemeriksaan fizikal premis secara berkala serta penganjuran taklimat kesedaran bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

Jelasnya, Bahagian Keselamatan dan Seksyen Persenjataan juga perlu memperketatkan sistem penyimpanan serta rekod keluar masuk senjata tanpa sebarang kelonggaran terhadap prosedur yang ditetapkan.

Selain itu, beliau turut menggesa warga SPRM membudayakan gaya hidup sihat bagi memastikan kesiapsiagaan fizikal dan mental pegawai sentiasa berada pada tahap optimum, khususnya ketika menjalankan tugas penguatkuasaan di lapangan dan menghadiri prosiding mahkamah.

Dalam menghadapi evolusi jenayah digital yang semakin kompleks, Abd Halim mengarahkan Bahagian Keselamatan SPRM bersama Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) mempertingkatkan keupayaan forensik digital dengan memberi fokus kepada pengesanan ancaman manipulasi deepfake, klon suara serta penipuan dokumen yang digunakan penjenayah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img