SPRM sifatkan kenyataan James Chai tidak tepat, mengelirukan, beri gambaran salah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjawab kenyataan media yang dikeluarkan oleh bekas pembantu kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai petang ini.

Berikut adalah teks penuh kenyataan media daripada SPRM;

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kepada kenyataan awam terkini oleh Chai Jin Shern (James Chai) yang cuba menggambarkan dirinya sebagai mangsa tindakan penguatkuasaan oleh suruhanjaya ini.

SPRM memandang serius kenyataan tersebut kerana beberapa dakwaan yang dibuat adalah tidak tepat, mengelirukan serta memberi gambaran yang salah kepada masyarakat mengenai prosedur siasatan yang dilaksanakan oleh SPRM.

Sehubungan itu, beberapa fakta perlu diperjelaskan.

Sidang media yang dirujuk merupakan sidang media bulanan SPRM yang diadakan secara berkala bagi memaklumkan kepada pihak media mengenai perkembangan beberapa siasatan yang sedang berjalan.

Antara kes yang disentuh termasuk Op Middlemen yang berjaya membongkar sindiket orang tengah yang menguruskan rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi membolehkan kenderaan berat melanggar peraturan keselamatan jalan raya, kes e-waste haram yang membabitkan siasatan ke atas Jabatan Alam Sekitar, Op Heart, siasatan melibatkan IJM, serta Op Godfather yang berkaitan kes Toh Puan Nai’mah Ab Khalid, ahli keluarga dan sekutunya.

Oleh itu, dakwaan bahawa sidang media tersebut diadakan semata-mata untuk menyasarkan James Chai adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Notis Mengesan Individu adalah prosedur siasatan standard

Pengeluaran Notis Mengesan Individu/Saksi untuk Bantu Siasatan merupakan prosedur siasatan standard yang digunakan oleh SPRM dan agensi penguatkuasaan lain.

Notis tersebut hanya dikeluarkan apabila pelbagai usaha untuk menghubungi individu berkenaan gagal, termasuk melalui panggilan telefon, lawatan ke alamat terakhir yang diketahui atau kaedah lain yang munasabah.

Perlu ditegaskan bahawa Notis Mengesan bukan satu tuduhan jenayah dan tidak membawa sebarang kesimpulan bahawa individu berkenaan telah melakukan kesalahan. Ia satu langkah bagi mengesan individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.

Dalam siasatan ini, seramai 12 individu termasuk seorang Menteri Persekutuan telah dipanggil dan kesemua telah memberikan kerjasama kepada SPRM. Sekiranya James Chai tiada apa yang hendak disembunyikan, beliau harus tampil untuk memberi kerjasama.

Sebagai makluman, SPRM secara purata mengeluarkan antara dua hingga lima Notis Mengesan Individu setiap minggu bergantung kepada keperluan siasatan.

Usaha menghubungi James Chai

Pegawai penyiasat SPRM telah membuat beberapa percubaan untuk menghubungi James Chai yang telah dikesan berada di United Kingdom, sebelum notis tersebut dikeluarkan. Mulai 24 Februari 2026, pegawai penyiasat telah menghubungi aplikasi WhatsApp satu talian yang dikenali sebagai kepunyaan James Chai tetapi tidak dibalas.

Setelah beberapa percubaan untuk menghubunginya tanpa respons, akhirnya nombor pegawai penyiasat telah disekat (block) oleh talian kepunyaan James Chai itu pada 26 Februari 2026.

Justeru, dakwaan bahawa SPRM tidak cuba menghubungi beliau sebelum mengeluarkan notis tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Cubaan untuk menggambarkan prosedur siasatan yang lazim sebagai tindakan menzalimi individu adalah tidak wajar dan berniat jahat.

Naratif sedemikian bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap proses penguatkuasaan undang-undang yang sah, khususnya ketika siasatan masih berjalan.

SPRM menegaskan bahawa Suruhanjaya ini sentiasa berpegang kepada presumption of innocence atau prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Oleh itu, seseorang yang dipanggil untuk membantu siasatan tidak bermaksud orang itu bersalah atau telah melakukan satu kesalahan.

SPRM ingin menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang. Proses siasatan akan diteruskan secara profesional dan berasaskan bukti, dan mana-mana individu yang dipanggil untuk membantu siasatan sewajarnya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, bukannya mengelak atau sengaja mewujudkan naratif awam yang mengelirukan.

Tugas dan tanggung jawab James Chai sebagai seorang warganegara adalah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa apabila timbul keperluan dan bukannya memberikan alasan yang tidak munasabah dan menimbulkan persepsi negatif terhadap pihak penguat kuasa.

SPRM akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional, bebas dan berlandaskan bukti serta kedaulatan undang-undang, tanpa takut atau pilih kasih.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

4 MAC 2026

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img