PENGANALISIS politik, James Chai yang juga merupakan bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dijangka akan diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 10 pagi esok.
Difahamkan, keterangan itu bagi membantu siasatan projek semikonduktor bernilai RM1.11 bilion yang disokong kerajaan itu akan diambil di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kepulangan Chai sudah dimaklumkan kepada pihaknya.
“Saya dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa dia (Chai) sudah membeli sendiri tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia.
“Dia hanya perlu hadir untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut dijalankan SPRM. Kita menantikan kepulangannya,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
SPRM sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang mengesan Chai, yang pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada Rafizi berhubung siasatan terbabit.
Dalam pada itu, firma guaman Kesavan Advocates and Solicitors yang mewakili Chai dalam kenyataan memaklumkan, segala urusan kepulangan sudah diatur selepas mendapat kelulusan majikannya di London.
Menurut firma berkenaan, pihaknya berkomunikasi dengan SPRM bagi memudahkan proses siasatan.


