YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pagi ini berkenan untuk bersarapan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Banglo 289, Jalan Raja Chulan di ibu negara.
Perdana Menteri memaklumkan perkara itu menerusi hantarannya dalam laman Facebook rasmi beliau hari ini.

“Dalam suasana santai, kami bertukar pandangan mengenai pelbagai perkembangan semasa yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara,” kata Perdana Menteri dalam hantarannya.
Anwar berkata, beliau sempat juga beramah mesra dengan para pengunjung lain.
Sementara itu, Istana Negara dalam hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri pagi ini.
Menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri turut santap bersarapan bersama sempena cuti umum Hari Wesak sebelum mengadakan pertemuan tertutup secara empat mata di Istana Bukit Tunku.
“Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara hari ini.
“Seri Paduka Baginda juga berkenan bersarapan bersama Perdana Menteri di Banglo 289, Jalan Raja Chulan,” menurut kenyataan yang dimuat naik Istana Negara menerusi Facebook hari ini.
Pertemuan antara Seri Paduka Baginda dan Anwar berlangsung lebih sejam.
“Selepas itu, Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan tertutup secara empat mata bersama Datuk Seri Anwar di Istana Bukit Tunku yang berlangsung lebih sejam,” menurut kenyataan itu lagi.






