SULTAN Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mahu pembangunan Pulau Langkawi diperkasa mengikut identiti tersendiri tanpa perlu membandingkan seperti Phuket atau Bali.
Baginda bertitah, Pulau Langkawi adalah aset strategik Negeri Kedah dan negara sebagai destinasi pelancongan utama serta pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
Titah baginda, kekuatan sebenar pulau tersebut terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimiliki.
“Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari.
“Beta mahu pembangunan Pulau Langkawi dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkan seperti Phuket atau Bali,” titah baginda.
Titah itu disampaikan sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-84 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit di Alor Setar hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; serta Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Sultan Sallehuddin turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan membuat sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi Pulau Langkawi.






