KETUA Biro Undang-Undang DAP Ramkarpal Singh mempertahankan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perintah mahkamah mengenai tahanan rumah Najib Razak, menegaskan langkah itu tidak bermaksud mempersoalkan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam pengurniaan pengampunan.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu bersetuju perkataan ‘discharge’ (pelepasan) dalam perintah Mahkamah Tinggi tersebut boleh ditafsirkan sebagai ‘pembebasan’ bagi Najib, dan bukannya pemindahan beliau ke tahanan rumah.
Ramkarpal berkata, perkara ini sekali gus bercanggah dengan pengampunan bersyarat yang secara jelas menetapkan bahawa bekas perdana menteri itu akan menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di bawah tahanan rumah jika dia membayar denda RM50 juta.

“Oleh itu, penjelasan mengenai perintah pelepasan terbabit perlu bagi mengelakkan sebarang keraguan yang mungkin timbul dalam penguatkuasaan perintah pengampunan bersyarat berkenaan.
“Pendirian AGC turut dipengaruhi fakta bahawa Najib perlu menjalani satu lagi hukuman bagi sabitan kes 1MDB sejurus selesai hukuman kes SRC, yang mana pelaksanaannya belum ditangguhkan setakat ini,’’ katanya dalam kenyataan.
Walaupun kediaman Najib telah diwartakan sebagai penjara, Ramkarpal berkata, tidak jelas sama ada warta tersebut terpakai melangkaui hukuman kes SRC bekas Presiden UMNO itu, memandangkan pewartaan itu dibuat bersandarkan pengampunan kes SRC semata-mata.
“Dalam erti kata lain, kediaman Najib berkemungkinan besar tidak bertujuan dijadikan penjara untuk beliau jalani sebarang hukuman lain selain hukuman kes SRC.
“Dalam keadaan ini, saya berpandangan AGC wajar dalam pendiriannya bahawa perkara itu perlu dijelaskan oleh Mahkamah Tinggi, dan permohonan bagi tujuan terbabit atau semakan semula perintah pelepasan berkenaan wajar dibuat serta-merta, mengambil kira kesegeraan isu ini.
“Mesti ditegaskan bahawa penjelasan atau semakan semula bukan bertujuan memperjelas terma perintah pengampunan bersyarat (yang sememangnya sudah jelas), sebaliknya bertujuan membetulkan kemungkinan kekhilafan dalam perintah pelepasan, berkait pentadbiran keadilan,’’ katanya.





