Teo Nie Ching ziarah bekas jurufoto Utusan Malaysia, salur sumbangan HAWANA

KEADAAN kesihatan bekas jurufoto Utusan Malaysia, Azlan Bahrum, 42, yang berdepan penyakit buah pinggang kronik dan gout mendapat perhatian Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menerusi kunjungan ziarah serta penyampaian sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM, hari ini.

Azlan yang pernah berkhidmat selama 13 tahun dengan Utusan Malaysia dari 2006 hingga 2019 kini berdepan pelbagai komplikasi kesihatan sehingga menjejaskan keupayaan fizikalnya.

Beliau disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik pada Oktober lalu, selain mengalami gout kronik sejak 2020.

Komplikasi akibat penyakit berkenaan menyebabkan ibu jari kaki pada kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong susulan jangkitan, manakala sendi-sendi tangannya turut menjadi kaku dan tidak lagi fleksibel.

Menurut Sekretariat HAWANA 2026 dalam kenyataan, kunjungan Nie Ching itu diadakan bersempena lawatan kerja beliau ke Terengganu sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan bekas pengamal media yang berdepan kesulitan hidup akibat masalah kesihatan.

“Penyampaian sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan antara usaha berterusan Kementerian Komunikasi dalam membantu pengamal media yang berdepan kesulitan serta memerlukan sokongan bagi meneruskan kehidupan dan menjaga kesejahteraan mereka,” menurut kenyataan itu.

Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM).

Sejak diperkenalkan pada Jun 2026, seramai 131 pengamal media telah menerima manfaat menerusi inisiatif berkenaan dengan jumlah sumbangan keseluruhan RM406,300.

Secara keseluruhan, Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan pada April 2023 telah memberi manfaat kepada 901 pengamal media di seluruh negara dengan nilai sumbangan berjumlah RM2.65 juta.

Daripada jumlah itu, seramai 38 pengamal media di Terengganu menerima sumbangan membabitkan peruntukan sebanyak RM114,000.

Yang turut hadir, Ketua Biro Bernama Terengganu, Balqis Jamaludin.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here