PN bukan ketandusan tokoh, tetapi sukar capai kata sepakat calon PM

PERIKATAN Nasional (PN) bukan ketandusan tokoh berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri, sebaliknya berdepan cabaran mendapatkan kesepakatan dalam kalangan parti komponennya mengenai individu paling sesuai menerajui gabungan itu.

Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis berkata, PN mempunyai beberapa pemimpin berpengalaman, namun persoalan utama ialah kemampuan mereka memperoleh pengiktirafan di peringkat nasional serta penerimaan masyarakat berbilang kaum.

MUJIBU Abd Muis

Menurutnya, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar antara tokoh yang berpotensi diketengahkan berdasarkan pengalaman mentadbir Terengganu sejak 2018, selain memiliki latar belakang akademik dan imej teknokrat.

Pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN pada Februari lalu juga memperlihatkan usaha Pas mengetengahkan wajah kepimpinan yang lebih berorientasikan pentadbiran dan profesional.

Bagaimanapun, Mujibu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kelebihan dari segi pengalaman mengetuai kerajaan Persekutuan, jaringan antarabangsa dan pengenalan politik yang lebih luas.

“Cabaran PN ialah bagaimana mahu membina tokoh yang bukan sahaja berpengaruh dalam parti, tetapi mempunyai keupayaan memimpin masyarakat majmuk dan mengurus negara pada peringkat nasional,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Beliau berkata, selain Ahmad Samsuri, Pas turut mempunyai beberapa tokoh lain seperti Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang masing-masing mempunyai kekuatan serta pengaruh tersendiri.

Dalam kalangan kepimpinan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pula, kata beliau, Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempunyai pengalaman sebagai bekas Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pembangkang, manakala Datuk Seri Saifuddin Abdullah pernah memegang portfolio Menteri Luar serta beberapa jawatan Kabinet.

“Masalah PN lebih menjurus kepada soal konsensus dan pembahagian pengaruh berbanding kekurangan individu berkelayakan.

“Setiap tokoh membawa kelebihan dan asas sokongan yang berbeza. Persoalannya ialah siapa yang boleh diterima sebagai calon bersama,” katanya.

Mengulas mengenai dinamika dalaman gabungan itu, Mujibu berkata, perubahan struktur kepimpinan PN turut menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan kuasa antara Pas dengan Wawasan, khususnya selepas Pas memainkan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju gabungan berkenaan.

Katanya, Hamzah mempunyai pengalaman dan pengaruh politik yang tidak boleh diketepikan, namun sejauh mana beliau dapat memainkan peranan dalam menentukan kepimpinan PN bergantung kepada penerimaan Pas serta kesepakatan parti komponen lain.

“Adakah PN bersedia menerima kepimpinan daripada Wawasan, atau kepimpinan tertinggi akan terus didominasi Pas?.

“Jika persoalan ini tidak diselesaikan, ia boleh menimbulkan ketegangan dalam menentukan calon Perdana Menteri dan pembahagian kuasa sekiranya PN membentuk kerajaan,” katanya.

Mujibu berkata, ketidakpastian mengenai calon Perdana Menteri juga boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi mengenai kesiapsiagaan PN mengambil alih pentadbiran negara.

Menurutnya, pengundi bukan sekadar mahu melihat siapa yang mampu mencabar kerajaan, sebaliknya turut mahu mengetahui individu dan pasukan yang bersedia memikul tanggungjawab mentadbir negara.

“Pengundi bukan sahaja mahu mengetahui siapa yang menentang kerajaan, tetapi juga siapa yang bersedia mengambil alih tanggungjawab mentadbir negara.

“Pengundi atas pagar lazimnya mahu melihat pasukan kepimpinan dan tawaran dasar yang jelas, bukan sekadar nama calon Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, PN perlu membuktikan bahawa tokoh yang diketengahkan bukan sahaja mempunyai pengaruh politik, malah mampu mengurus ekonomi, hubungan antarabangsa, institusi kerajaan dan masyarakat majmuk.

Justeru, katanya, gabungan itu perlu menggabungkan kelebihan setiap pemimpin yang dimiliki menjadi satu pasukan dengan hala tuju bersama, selain memperjelas peranan Wawasan, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Tambah beliau, PN juga perlu menawarkan dasar yang meyakinkan dalam isu ekonomi, pekerjaan, pendidikan, pelaburan dan hubungan antara kaum.

“Memiliki tokoh berpengalaman tidak sama dengan mempunyai seorang pemimpin yang diterima bersama dan diyakini pada peringkat nasional.

“Cabaran sebenar PN adalah membina kesepakatan kepimpinan, memperjelas pembahagian kuasa dan membuktikan keupayaan mentadbir sebuah negara majmuk,” katanya lagi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here