SEORANG suri rumah bukan sahaja kehilangan wang simpanan hampir RM750,000, malah kini terpaksa menanggung hutang bank selepas terperdaya dengan sindiket phone scam yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis.
Mangsa wanita berusia 43 tahun itu dikatakan diperdaya sindiket berkenaan sejak Julai tahun lalu sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan beberapa bulan kemudian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 12.16 tengah hari semalam.
Menurutnya, pada 13 Julai 2025, mangsa yang berada di rumah menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa wakil syarikat insurans sebelum talian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.
Katanya, suspek memaklumkan mangsa kononnya terbabit dalam kes penggubahan wang haram membabitkan akaun bank miliknya.
“Mangsa kemudian diarahkan membuka dua akaun bank baharu kononnya bagi tujuan siasatan dan diminta menyerahkan maklumat perbankan kepada mereka.
“Mangsa turut diminta membuat bayaran ke beberapa akaun yang diberikan suspek kononnya untuk tujuan siasatan Bank Negara,” katanya.
Azli berkata, mangsa kemudian membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun diberikan suspek antara Ogos 2025 hingga Januari lalu.
Menurutnya, jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah RM749,000 membabitkan wang simpanan peribadi serta pinjaman bank yang dibuatnya.
Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan menerusi aplikasi semak mule dan mendapati nombor telefon yang menghubunginya tersenarai sebagai scammer.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


