POLIS menahan tiga lelaki selepas penemuan mayat di Kampung Selamat, Semanggol dengan kesan tembakan.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 3.55 pagi memaklumkan mangsa yang berusia 43 tahun ditemukan meninggal dunia.
Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Balai Polis Semanggol telah pergi ke lokasi.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan di bahagian belakang badan mangsa disyaki akibat terkena tembakan dan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Taiping esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisam berkata, susulan itu polis menahan dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun di Kampung Selamat, Semanggol pada 12.30 tengah hari semalam, dengan seorang daripadanya mempunyai pertalian saudara dengan mangsa.
“Seorang lagi suspek 36 tahun ditahan di Batu Caves 8.30 malam hari sama,” tambahnya.
Katanya, kejadian berlaku kerana mangsa disangkakan haiwan buruan semasa mereka berburu kira-kira 8 malam Ahad lepas.
“Selepas kejadian, mereka sepakat membawa mangsa ke Semanggol menggunakan sebuah kenderaan dengan diiringi dua kenderaan lain.
“Mangsa ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap untuk mencipta cerita lain daripada kejadian sebenar,” katanya.
Noor Hisam berkata, polis merampas sebuah Toyota Vellfire, Mazda dan Toyota Hilux, dua laras senapang buatan sendiri, 11 butir peluru 12 Bore serta empat telefon bimbit.
“Tiga suspek itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis giat mengesan seorang lagi suspek dipercayai turut terlibat,” katanya.



