KERAJAAN memutuskan semua agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak menganjurkan majlis rumah terbuka bagi menggalakkan perbelanjaan lebih berhemah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bersama Jemaah Menteri sebagai mesej supaya semua pihak mengamalkan perbelanjaan secara cermat dan sederhana.
“Saya telah memutuskan bersama Jemaah Menteri supaya semua agensi kerajaan, GLC dan GLIC tidak menganjurkan perayaan rumah terbuka.
“Ini memberikan mesej supaya perbelanjaan dibuat dengan lebih cermat dan sederhana,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, langkah berkenaan diambil susulan ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada konflik peperangan melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran
Anwar berkata, walaupun bekalan barangan keperluan termasuk minyak dan gas ketika ini masih mencukupi, kerajaan memilih untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan negara terjebak dalam situasi ekonomi yang lebih sukar.
“Ada yang bertanya, kalau keadaan masih terkawal dan barang keperluan seperti minyak dan gas boleh disediakan, apa keperluannya?
“Kita perlu waspada dan berjimat. Ini langkah yang waras supaya kita tidak terjebak dengan keadaan yang lebih parah,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mahu pimpinan negara menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dengan mengamalkan sikap sederhana dalam perbelanjaan.
“Kerajaan mahu memastikan setiap langkah diambil secara bertanggungjawab bagi menghadapi perkembangan global yang tidak menentu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, lawatan luar negara membabitkan menteri, anggota pentadbiran serta jabatan kerajaan juga akan dihadkan kecuali yang telah dijadualkan dan dianggap perlu.
“Untuk itu juga, menteri dan seluruh anggota pentadbiran serta jabatan dihadkan lawatan atau kunjungan ke luar negara, melainkan yang memang dalam jadual wajib yang perlu dihadiri,” katanya.


