KETIKA kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan mula dirasai, Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shari menafikan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat ini ada kaitan dengan pembubaran DUN.
Dengan nada tegas, Amirudin berkata,‘’ “Tidak ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), kita lambat lagi (nak bubar DUN)… tidak ada.’’
Sebaliknya, beliau berkata, sidang yang berlangsung pada 19, 22 dan 23 Jun ini hanya memberikan fokus kepada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.
“Kita bukan macam Johor… Johor buat (umum bantuan RM170 juta) masa hendak PRN, kita (Selangor) tak ada PRN pun kita buat (beri bantuan kepada rakyat),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), SUK di Shah Alam, lapor Buletin TV3.
Kenyataan Amirudin itu sekaligus menamatkan spekulasi bahawa DUN Selangor akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN sepertimana di Johor dan Negeri Sembilan.
DUN Johor yang dibubarkan pada 1 Jun lalu membuka laluan kepada PRN pada 18 Julai manakala Negeri Sembilan akan mengadakan PRN pada 1 Ogos selepas Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun membubarkan DUN pada 5 Jun.






