POLIS berjaya menumpaskan dua kumpulan dikenali sebagai Geng Danish dan Geng As selepas menahan 12 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, penahanan suspek berusia antara 23 hingga 38 tahun dilakukan susulan laporan polis yang diterima daripada mangsa pada 25 Mei lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan terbabit menggunakan modus operandi dengan menunda motosikal sebelum menghidupkan enjin menggunakan kaedah sambung wayar atau ‘looping’.
“Motosikal yang dicuri itu ada yang dijual pada harga antara RM500 hingga RM1,000, selain ada yang dilerai untuk dijual sebagai alat ganti dan turut digunakan bagi aktiviti jenayah lain,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan dan maklumat, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai ahli Geng Danish di sekitar bandar raya ini pada 27 Mei lalu.
Susulan penahanan itu, empat lagi lelaki berusia antara 24 hingga 38 tahun diberkas di sekitar Taman Kota Masai dan Taman Pulai Indah pada awal pagi keesokan harinya.
Katanya, polis turut merampas lapan motosikal pelbagai jenis selain topi keledar, pakaian dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah, telefon bimbit dan kunci motosikal.
Raub berkata, polis kemudian meneruskan operasi dengan menahan enam lelaki dan seorang wanita dipercayai ahli Geng As berusia antara 23 hingga 35 tahun di sekitar Tanjung Puteri, FELDA Ulu Tebrau, Kempas Lama dan Masai antara jam 4.30 petang pada 3 Jun hingga 11.45 malam keesokan harinya.
Dalam operasi itu, polis merampas sembilan motosikal, dua rangka motosikal, dua kunci motosikal, satu unit pemijak brek jenama Brembo, cermin sisi motosikal serta lapan telefon bimbit.
Menurutnya, semakan mendapati ahli Geng Danish mempunyai 47 rekod lampau berkaitan jenayah, dadah dan penipuan manakala ahli Geng As pula mempunyai 30 rekod berkaitan kesalahan sama.
“Hasil penahanan ini, polis berjaya menyelesaikan 18 kes curi motosikal bukan sahaja di Johor Bahru Selatan tetapi turut melibatkan kawasan pentadbiran IPD Seri Alam, IPD Johor Bahru Utara dan IPD Iskandar Puteri,” katanya.
Beliau berkata, ujian air kencing yang dijalankan mendapati 11 daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” ujarnya.






