BELUM pun lagi ‘sembuh’ keperitan akibat tewas 56-0 di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan terus kempunan meraih kerusi di Negeri Sembilan apabila kalah di kesemua 25 kerusi ditandingi, Bersatu berhadapan pula peletakan jawatan ketua bahagian parti itu.
Terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Razali Idris meletak jawatan sebagai Ketua Bersatu Terengganu.
Tindakan beliau itu turut disertai dua lagi pemimpin negeri itu.
Exco Terengganu itu menghantar surat peletakan jawatannya kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu, tetapi tidak menyatakan punca beliau melepaskan jawatan disandangnya sejak 10 tahun lalu.
“Setakat ini, pihak ibu pejabat parti, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin belum mengesahkan atau membuat keputusan untuk menerima atau menolak peletakan jawatan itu,” katanya lapor Berita Harian.
Razali berkata, beliau akan melepaskan jawatan Ketua Bersatu Marang pada pertengahan bulan depan selepas menyelesaikan pelbagai tugas parti di peringkat bahagian.
Tegasnya, beliau masih ahli Bersatu setelah melepaskan dua jawatan di peringkat bahagian dan negeri.
Pada masa sama, ADUN Telemong, Zawawi Ismail dan ADUN Hulu Besut, Husaimi Hussin turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Penerangan serta Bendahari Bersatu Terengganu.
Difahamkan, Timbalan Ketua Bersatu Terengganu, Khazan Che Mat juga akan melepaskan jawatannya.
“Saya menyertai Bersatu pada 2016 atas pelawaan Razali, jika dia letak jawatan, buat apa saya nak terus memegang jawatan,” katanya yang juga ketua Bersatu Kuala Nerus dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu.






