Perompak acu pisau, samun juruwang kedai serbaneka

SEORANG juruwang wanita berdepan detik cemas apabila diacu pisau oleh seorang perompak yang menyamar sebagai pelanggan sebelum melarikan wang tunai dan barangan peribadinya dalam kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Taman Maju, Jasin, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun berkawan bersenjatakan pisau itu pada jam 8.50 malam.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 malam ketika mangsa berusia 40 tahun sedang bertugas di kaunter pembayaran bersama beberapa pekerja lain yang berada di dalam premis berkenaan.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang lelaki yang memakai topi keledar memasuki kedai dan berpura-pura menjadi pelanggan.

“Suspek mengambil sebotol air mineral sebelum menuju ke kaunter pembayaran. Dia kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukannya ke arah mangsa sebelum mengambil wang tunai di peti kaunter serta barangan milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya melarikan diri bersama seorang lagi rakan yang menunggu di luar premis dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna biru putih.

Katanya, jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM1,200 membabitkan wang tunai RM60 di peti kaunter, sebuah telefon bimbit, wang tunai RM300 yang disimpan dalam beg sandang serta beberapa dokumen peribadi mangsa.

Terdahulu, tular video berdurasi 48 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki bertopi keledar memasuki premis berkenaan sebelum menghampiri kaunter dan mengacukan pisau ke arah juruwang.

Lee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img