TIGA beranak maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori muatan 20 tan di Jalan Raja Muda Musa menghala ke Tanjong Karang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa yang maut ialah seorang wanita berusia 44 tahun, kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang turut berada dalam Proton Exora berkenaan mengalami kecederaan di kepala.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 1.37 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira 20 minit selepas panggilan diterima.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi mendapati empat mangsa masih tersepit di dalam MPV sebelum anggota bomba menjalankan usaha mengeluarkan kesemua mangsa.
“Bagaimanapun, tiga mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, operasi menyelamat membabitkan empat anggota BBP Tanjong Karang.
Katanya, kesemua mangsa yang terlibat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.





