POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan rangkaian sindiket penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan makanan sejuk beku haram menerusi Op Salju 1/2026 dengan nilai rampasan keseluruhan RM32.5 juta.
Operasi bersepadu di 13 negeri yang dijalankan dari 9 hingga 22 November lalu itu menyaksikan pelbagai produk sejuk beku bernilai RM18.17 juta dirampas daripada 68 premis yang diperiksa.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sindiket berkenaan menggerakkan rangkaian jenayah terancang merangkumi pembekalan haram, penyimpanan, pembungkusan dan pelabelan semula produk sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Penyeludupan makanan sejuk beku tidak boleh dilihat sebagai isu terpencil, sebaliknya mesti ditangani sebagai ancaman penguatkuasaan bersepadu yang mencabar keselamatan sempadan negara, kedaulatan undang-undang perdagangan, keselamatan makanan dan hak perlindungan pengguna,” katanya.
Menurutnya, modus operandi yang dikesan termasuk pengisytiharan barangan tidak tepat dan mengelirukan, penggunaan dokumen palsu atau meragukan, kegagalan mengemukakan permit import sah serta ketidakpatuhan terhadap syarat penyimpanan dan pengedaran.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Yusri berkata, pemeriksaan mendapati 55 daripada 68 premis yang diserbu melakukan pelbagai kesalahan, membabitkan 29 stor atau kilang, 18 premis perniagaan dan pasar raya serta lapan pusat penyembelihan.
“Operasi itu membabitkan 745 pegawai dan anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) serta sembilan agensi penguatkuasaan lain.
“Seramai 96 individu berusia antara 14 hingga 73 tahun turut ditahan, terdiri daripada 41 warga tempatan dan 55 warga asing,” katanya.
Selain produk sejuk beku, pihak berkuasa turut menyita bahan mentah makanan bernilai RM370,139.60, kenderaan dan jentera bernilai RM2.01 juta serta pelbagai barangan lain berjumlah RM12.02 juta.
Sebanyak 37 kompaun bernilai RM194,932.59 turut dikeluarkan di lokasi serbuan.
Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM sudah menyerahkan maklumat 68 syarikat terbabit kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasatan lanjut bagi mengesan ketirisan cukai.
“Semua produk sejuk beku yang dirampas akan dimusnahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan ia tidak kembali ke pasaran.
“Impak Op Salju tidak seharusnya diukur berdasarkan 96 tangkapan atau rampasan bernilai RM32.5 juta semata-mata, sebaliknya diukur berdasarkan keyakinan rakyat bahawa apa yang mereka makan adalah selamat, bersih dan halal serta dijamin kerajaan,” katanya.





