MENTERI Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dipercayai menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tengah hari tadi.
Difahamkan, pertemuan itu bagi membincangkan krisis pentadbiran selepas kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin oleh Aminuddin.
Aminuddin hadir di Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Muhammad Yusof di Port Dickson pagi tadi, namun beliau dilihat tergesa-gesa meninggalkan majlis berkenaan kira-kira jam 11 pagi, dipercayai untuk menghadap Tuanku Muhriz yang dipercayai berada di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengadakan sidang media bagi memaklumkan penarikan sokongan itu.
Jalaluddin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan Perlembagaan negeri.
Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak mengisytiharkan penurunan Tuanku Muhriz di Balai Undang Luak Sungai Ujong.
Susulan itu, Aminuddin dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungai Ujong agar menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra luak berkenaan.
Berikutan krisis itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan, walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi membabitkan DAP (11) PKR (5) dan Amanah (1), manakala UMNO/BN menyumbang 14 kerusi dan Pas (3) serta Bersatu (2).
Sementara itu, ADUN dan pemimpin DAP Negeri Sembilan mengadakan mesyuarat tergempar petang ini dipercayai bagi membincangkan isu pentadbiran kerajaan negeri.
Sekitar jam 2 petang, ibu pejabat DAP di Kemayan Square dihadiri beberapa pemimpin parti itu diketuai Setiausaha Agung DAP yang juga ADUN Chennah, Anthony Loke.
Anthony ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan Aminuddin di kediaman rasmi Menteri Besar petang ini sejurus selesai mesyuarat parti.


