Toilet of the Year Award  2025 (TOTYA 2025), tiadakah istilah dalam bahasa Melayu?

Oleh: Kamal Shukri Abdullah

PADA  19 November ini satu lagi majlis anugerah tahunan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan diadakan di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur.

Nampaknya sekali lagi dalam masa terdekat pimpinan tertinggi KPKT dan menterinya tidak serik dan seolah-olah tidak belajar apa-apa daripada kritikan media dan orang ramai tentang penyisihan bahasa rasmi negara ini daripada penjenamaan, majlis, program dan  lain-lain yang berkaitan dengan KPKT.

Permohonan maaf hanya  menjadi seperti mainan bibir sahaja dan boleh dipohon berulang kali.

Selepas terkait dengan isu  ” I Lite U” dan setelah bertemu wartawan serta memohon maaf, KPKT kini akan menganjurkan pula majlis anugerah “Toilet of the Year Award 2025” pada 19 November di Hotel Westin, Kuala Lumpur.

Jika diteruskan juga anugerah ini dengan jenama Inggeris tersebut tanpa menukar kepada bahasa rasmi negara, jelaslah terlihat akan kedegilan  pimpinan dan menteri di sana. Mungkin ada yang melihat peduli apa anugerah itu yang mungkin lebih sinonim  dengan bau yang umumnya kurang enak.

Apa yang kita mahu bukannya bau wangi sahaja, tetapi juga jenama segala anugerah, program, aktiviti dan lain-lain di negara ini wajib menggunakan bahasa negara ini, bukannya bahasa negara orang lain sama ada berbau wangi atau tidak.  Apatah lagi penganjurnya sebuah kementerian, jabatan kerajaan di Malaysia dan bukan kementerian di Sepanyol.

Catchy” sangatkah anugerah itu dalam bahasa Inggeris? Kita bukan anti bahasa Inggeris hatta bahasa apa pun di dunia ini, tetapi manakah lidah yang telah menuturkan bahawa kita tahu bahasa rasmi negara ini wajib dihormati?

Miskin sangatkah bahasa negara ini untuk mengganti “toilet” itu? Janganlah pula ambil jalan mudah, gunakan “jamban” pula.  Boleh saja gunakan tandas awam, kamar kecil dan lain-lain yang sesuai.

Pekeliling kementerian sendiri  telah menggunakan istilah tandas awam, mengapa tidak gunakan sahaja “tandas awam terbaik” seperti dalam Pekeliling Kementerian tersebut atau boleh juga mulai mempopularkan  istilah kamar kecil atau bilik air yang berbau neutral berbanding jamban yang agak kasar?

DBP kan ada.  Silalah selalu merujuk kepada DBP tentang bahasa, istilah dan seumpamanya.  Hormati, manfaatkan serta berilah peluang DBP melaksanakan tugasnya secara maksimum sebagai penasihat rasmi tentang bahasa di negara ini bagi semua kementerian, agensi kerajaan dan swasta di negara ini. 

  • Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img