ANALISIS
KADANG kala betullah kata orang politik ini kotor. Kotor bukannya bermaksud ternampak tetapi terlihat dengan perbuatan.
Satu lagi politik jahil bukan kerana orang yang melakukan itu tidak berakal tetapi disebabkan ‘ketaksuban’ menyebabkan ia menjadi ‘tidak cerdik’ untuk membuat pertimbangan.
Begitulah juga dengan tindakan segelintir ‘makhluk’ yang cuba menghuru-harakan PN apabila semalam menyebarkan mesej menyerang Hamzah Zainuddin yang sedang mengetuai jentera PN di PRN Sabah.
Timbalan Presiden Bersatu itu datang bukan tangan kosong bagi memastikan jentera dan calon cukup bekalan untuk bertempur. Tetapi malangnya ada spesis yang sudah hilang kewarasan politiknya apabila menyebarkan mesej memberi amaran kepada Hamzah. Puncanya apa?
Hanya kerana kehadiran mereka yang dikatakan sudah dipecat dan digantung ketika majlis pelancaran jentera PN PRN Sabah. Sudah pastilah ia merujuk kepada dua ahli Parlimen iaitu Wan Saiful Wan Jan (PN Tasek Gelugor) dan Wan Ahmad Fasyhal Wan Ahmad Kamal.
Hamzah dituduh memperlekeh dan mencabar maruah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin apabila membenarkan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal berada di pentas utama.
Akibatnya Hamzah dituduh melakukan pengkhianatan terbuka kepada Muhyiddin dan ia satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan serta sabotaj politik terhadap Presiden Bersatu berkenaan.
Begitulah hebatnya hujah yang diberikan, seolah-olah Hamzah telah benar-benar melakukan tindakan yang menghancurkan parti sedangkan perbuatan mereka menyebarkan mesej menyerang Hamzah…itulah sebenarnya pengkhianatan.
Ini kerana mereka memilih untuk melakukan dakyah tersebut ketika PN turun gelanggang bagi menghadapi pertarungan dalam PRN Sabah.
Bijakkah melakukan serangan yang akan menyebabkan orang Sabah melihat PN tidak bersatu? Betulkah apa yang dilakukan oleh Wan Saiful dan Wan Fayshal itu salah sedangkan mereka masih dalam peringkat rayuan?
Butakah untuk melihat apa yang berlaku di dalam parti-parti lain bagaimana ada ahli Parlimen yang digantung atau pemimpin yang digantung tetap turun membantu parti mereka? Yang mana buruk dan dianggap sabotaj, benarkan seseorang berada di pentas utama atau menyerang sesama parti ketika pilihan raya?
Atas sebab itulah sebelum mengatakan orang lain khianat, sebelum tuduh orang lain memalukan parti ..cerminlah diri dulu adakah dengan menghasilkan serangan ke atas Hamzah itu bukan perbuatan khianat? Tidakkah ia memalukan parti? Tidakkah ia akan menjejaskan parti?
Sudah-sudahlah hendak memecah belah kepimpinan parti. Kalau ada masalah antara Hamzah dan Muhyiddin, biarlah mereka selesai, orang lain tak payah menjadi batu api sehingga sanggup melakukan fitnah.
PRN Sabah adalah gelanggang penting untuk PN dan Bersatu. Parti-parti lain pun ada masalah tetapi lebih cerdik untuk berpolitik tidak seperti segelintir ‘spesis’ yang sudah tidak sabar-sabar lagi mahu menyingkirkan Hamzah.
Bukan kerana kepentingan parti tetapi mahukan pemimpin yang mereka sokong tidak diganggu laluannya untuk menjadi calon PM.
Kalau itu hasratnya pastikan PN menang di Sabah sebab kalau di negeri itu kalah ia boleh dianggap penolakan terhadap Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN. Beliau perlu mengambil tanggungjawab bukan soal siapa pengarah pilihan raya.
Jadi kalau tidak mahu itu berlaku ‘hentikan kerja-kerja bodoh’ yang boleh menjejaskan peluang PN di negeri di bawah bayu tersebut. Tidak perlulah bersusah payah mahu menyerang Hamzah habis-habisan semata-mata mahu memastikan ‘boss kita’ tidak diganggu laluannya ke Putrajaya.
Usahlah terlalu banyak bermimpi apatah lagi mengigau di siang hari sebaliknya kalaupun tidak mahu keluar dana atau tidak mahu mencari dana, jangan ganggu orang yang sanggup berbuat demikian.
Penulis tahu apa yang diperkatakan akan menimbulkan pelbagai tafsiran dan tuduhan silakan saja..apa yang pasti ia tidak akan mengubah fakta ‘ketidakcerdikkan’ mereka yang memecah belahkan parti ketika pilihan raya.
Apapun penulis hanya mengingatkan bahawa Bersatu bukannya tidak ada peluang menang pilihan raya, PN bukannya tidak harapan untuk berjaya tetapi kalaulah ‘budaya batu api’ masih bersemarak dalam Bersatu khususnya, percayalah bukan kata PRN Sabah malah di semua pilihan raya Bersatu akan rebah, PN akan terduduk. Ketika itu siapapun nak jadi penulis bebas@batu api…dialu-alukan sebab semuanya sudah terlepas!



