INSTITUSI wakaf perlu diperkukuh sebagai instrumen pembangunan ekonomi dan pendidikan umat Islam dengan memastikan pengurusannya dilaksanakan secara telus, cekap serta bebas daripada penyelewengan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejarah kegemilangan tamadun Islam membuktikan pengurusan wakaf yang berkesan mampu membangunkan institusi pendidikan berprestij seperti Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti al-Qarawiyyin di Maghribi.
Menurutnya, kejayaan institusi berkenaan membuktikan kekuatan dana wakaf bukan hanya bergantung kepada jumlah sumbangan, tetapi turut ditentukan oleh integriti dan kecekapan pihak yang menguruskannya.
“Dalam tradisi Islam, wakaf menjadi tunjang kekuatan ekonomi yang membina universiti dan pusat ilmu. Malah Al-Azhar yang kini bernilai berbilion ringgit bermula dengan dana wakaf serta tatakelola yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Semarak Wakaf Perdana 2026 di Bayan Lepas hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Pulau Pinang mempunyai potensi untuk dijadikan contoh pembangunan wakaf di peringkat nasional menerusi pengurusan dana dan pelaksanaan projek yang tersusun.
Beliau turut menyentuh dana khas pembangunan Bumiputera Pulau Pinang berjumlah RM145 juta yang diperuntukkan bagi tujuan pembangunan wakaf.
Katanya, dana berkenaan mempunyai kaitan dengan dasar yang diperkenalkannya pada awal 1990-an ketika menerajui pentadbiran negeri itu, menerusi mekanisme mengumpulkan sumbangan daripada kuota perumahan Bumiputera yang tidak terjual ke dalam tabung amanah pembangunan khusus.
Bagi memperkukuh usaha berkenaan, Anwar mengumumkan tambahan peruntukan RM30 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi menyokong pembangunan wakaf di negeri itu.
Beliau turut memaklumkan Kementerian Kewangan akan membantu mempercepat urusan kelulusan tender khas supaya projek yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual tanpa mengabaikan prinsip tatakelola.
“Saya sudah beritahu mereka, memandangkan perkara ini sudah diluluskan, segerakan. Saya mahu ia dipercepatkan supaya kita dapat melancarkan projek lain dan menjadikannya model untuk negeri lain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar mengingatkan pentadbiran awam supaya tidak membiarkan amalan rasuah dan penyelewengan kecil dianggap sebagai perkara biasa kerana ia boleh merosakkan budaya kerja serta kepercayaan terhadap institusi kerajaan.
Beliau menyifatkan sikap mengambil mudah terhadap komisen dalam urusan perolehan dan kebocoran wang awam sebagai budaya yang perlu dihentikan segera.
“Jangan kita terus mengagungkan mentaliti mencuri sedikit itu tidak mengapa, seolah-olah menjadi pegawai negeri bermakna mesti mencuri. Ini budaya sesat,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mencampuradukkan perbezaan politik dengan prinsip keadilan dan pentadbiran yang baik, termasuk menganggap pendekatan inklusif sebagai bertentangan dengan kepentingan Islam.
Menurutnya, kefahaman agama yang sebenar perlu membentuk masyarakat yang tegas dalam pegangan akidah, tetapi pada masa sama mengamalkan keadilan dan ihsan terhadap semua lapisan rakyat.





