PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan melayan dakwaan kononnya berlaku campur tangan pihak luar dalam pemilihan Menteri Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyifatkan kenyataan itu sebagai ‘kenyanyukan seseorang’ yang tidak memahami realiti politik.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai pengerusi gabungan berkenaan di peringkat kebangsaan mengemukakan watikah serta cadangan nama kepada pihak Istana bagi proses pelantikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
“Saya tidak mahu melayani ‘kenyanyukan seseorang’ yang tidak memahami realiti politik bahawa nama mesti dikemukakan kepada pihak Istana dan sebagai Pengerusi BN tentunya saya perlu mengemukakan watikah dan juga cadangan nama.
“Kalau tugas saya sebagai Pengerusi BN di peringkat kebangsaan dianggap sebagai orang luar, ertinya kenyanyukan itu jelas terpancar daripada wajah orang yang mengatakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini, lapor Sinar Harian.
Kata-kata Ahmad Zahid itu dipercayai ditujukan kepada Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim yang sebelum ini mempersoalkan urusan pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Rais baru-baru ini melontarkan beberapa persoalan di sebalik pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu termasuk mendakwa wujudnya campur tangan dari luar dalam urusan adat dan perlembagaan Negeri Sembilan.
Ismail pada hari pertama memulakan tugas rasminya kelmarin turut menegaskan tata cara pelantikannya sebagai Menteri Besar telah dilaksanakan mengikut prosedur yang betul.
“Saya tak berapa mengikuti, tetapi saya rasa tata caranya telah diikuti dengan betul. Tata cara pelantikan telah diikut dengan betul. Lain daripada itu saya tak ada komen,” kata Ismail.
Ahmad Zahid dalam pada itu turut menegaskan tiada pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada kalangan ADUN Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Negeri Sembilan.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menyaksikan BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi, manakala PH memperoleh 11 kerusi.






