TUN Dr Mahathir Mohamad dibenarkan pulang dan bermalam di kediamannya di The Mines selepas genap sebulan dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) disebabkan patah tulang pinggul kanan.
Setiausaha Akhbar bekas Perdana Menteri itu, Sufi Yusoff dalam satu kenyataan berkata, pada waktu siang, Dr Mahathir akan kembali ke IJN untuk meneruskan rawatan dan pemerhatian pihak perubatan.
“Setakat ini, pasukan perubatan di IJN berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan serta tindak balas Dr Mahathir terhadap langkah-langkah perubatan dan fisioterapi.
“Walaupun dibenar pulang ke rumah secara berperingkat, Dr Mahathir tetap berada dalam pemantauan pasukan perubatan IJN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sufi memberitahu, pakar perubatan menasihatkan Dr Mahathir tidak menerima pelawat selain keluarga terdekat buat masa ini.
“Dr Mahathir, isteri serta keluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa bertanyakan mengenai keadaan kesihatan beliau dan yang mendoakan kesihatan serta kesejahteraannya,” katanya.
Media pada 6 Januari lalu melaporkan Dr Mahathir dimasukkan ke IJN dan disahkan mengalami patah tulang di bahagian pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya.
Beliau dibawa ke hospital dalam keadaan sedar sebelum menjalani pemeriksaan lanjut.


