BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun kelahiran beliau ke-101, hari ini.
Meninjau ruangan komen dalam media sosial, Bapa Pemodenan itu menerima ribuan ucapan sempena ulang tahun kelahirannya yang menjangkau lebih seabad.
Bukan hanya rakyat jelata malah individu berpengaruh termasuk selebriti terkenal tanah air tidak ketinggalan menzahirkan ucapan dengan menitipkan doa buat beliau.
“Masya-Allah Tabarakallah, Mabrook.. Selamat ulang tahun kelahiran ayahanda Tun,” tulis Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Selamat ulang tahun Tun Dr Mahathir,” tulis pelakon, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein.
“Selamat hari lahir buat Tun, semoga apa yang Tun doakan, Allah SWT makbulkan semua doa itu.
“Happy Birthday Tun M.. Semoga diberikan kesihatan yg baik berpanjangan..,” tulis pembaca Hariri Abdullah Omar.
“Ya Allah SWT berilah kesihatan yang baik kepada Tun dan semoga Tun sentiasa didalam lindungan Allah SWT sepanjang masa, Amin,” tulis seorang pengguna Instagram (IG) dikenali matrifinanita.
“Selamat hari ulang tahun yang ke 101 Tun Dr Mahathir.
“Semoga Allah SWT berkati Tun dengan kesihatan yang baik, dilapangkan lagi rezeki dan dipermudahkan urusan di dunia juga akhirat,” tulis seorang lagi pengguna IG, fashalwi.
Dr Mahathir atau mesra disapa Tun M dan Che Det dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak di Alor Setar, Kedah.
Beliau adalah anak bongsu daripada sembilan beradik, dibesarkan dalam keluarga guru dan mewarisi sifat disiplin tinggi serta semangat menuntut ilmu sejak kecil.
Tun M mendapat pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar sebelum melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura.
Sebagai doktor kerajaan pada awal kerjayanya, beliau kerap merawat rakyat marhain dan pengalaman dilalui membuka matanya terhadap keperitan hidup orang Melayu ketika itu.
Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri keempat pada 16 Julai 1981 bagi menggantikan Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn sebelum kembali memimpin negara pada 2018.
Pelantikan Tun M sebagai Perdana Menteri ketujuh ketika itu menjadikan beliau sebagai pemimpin tertua di dunia yang memegang jawatan berkenaan.
Sepanjang tempoh menerajui negara, banyak sumbangan diberikan dengan salah satu legasi terbesar adalah Dasar Pandang Ke Timur selain Wawasan 2020.
Dalam era kepimpinan beliau, berlaku pembangunan mega dianggap ikonik seperti Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan projek kereta nasional, Proton.
Bagaimanapun, Tun M juga diuji apabila berdepan krisis kewangan Asia sekitar 1997-1998.
Sebelum ini, Tun M masih aktif menulis buku selain diundang ke forum bagi berkongsi pandangan mengenai pelbagai topik.






