Lagi kes amuk pelajar: Pelajar kejar 3 rakan dengan pisau

TIGA pelajar dikejar seorang pelajar lelaki tingkatan satu dengan pisau pemotong kertas akibat berang dibuli dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang ketika sesi kokurikulum bagi program penghargaan kehadiran pelajar sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah itu.

Menurutnya, dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun dipercayai berulang kali membaling ais ke arah suspek.

“Akibat tidak dapat menahan kemarahan, suspek mengeluarkan pisau pemotong kertas dari dalam bekas pensilnya, sebelum mengejar salah seorang daripada mangsa sejauh kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah.

“Dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran. Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekolah,” katanya, lapor Harian Metro.

Ahmad berkata, pelajar yang melakukan serangan itu dilaporkan sedang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun, selain pihak sekolah sedia maklum mengenai situasinya.

Beliau berkata, kejadian tidak diingini berjaya dikekang apabila seorang guru bertindak pantas memujuk suspek untuk melepaskan pisau dipegangnya.

“Tiada pelajar atau guru yang cedera. Keluarga pelajar itu kemudian dipanggil ke sekolah sebelum pelajar itu dibawa pulang.

“Siasatan juga mendapati semua pelajar yang terbabit mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal sesi persekolahan tahun ini,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, tambah Ahmad.

Insiden ini berlaku empat hari selepas seorang remaja perempuan dipercayai menikam pelajar tingkatan tiga sekolah menengah di Banting, Selangor pada Isnin lalu.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera selepas terkena antara 14 hingga 16 tikaman, manakala suspek ditahan reman polis dan akan dituduh di mahkamah di Banting pagi ini mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img