TINDAKAN penunggang sebuah motosikal mengubah lorong secara tiba-tiba dipercayai menjadi punca nahas antara sebuah motosikal dan kereta yang tular dalam media sosial di Jalan 16/11, Petaling Jaya pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya mengesan video berkenaan di media sosial kira-kira jam 3 petang semalam.
Menurutnya, siasatan hasil keterangan dan rakaman video papan pemuka mendapati nahas berlaku kira-kira jam 7.10 pagi hari sama.
“Kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki dua individu di lorong kiri telah mengubah laluan ke lorong kanan secara mengejut. Akibat terlalu hampir, kereta yang dipandu di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal berkenaan.
“Ia menyebabkan penunggang dan pembonceng terjatuh ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, selepas kemalangan itu, pemandu kereta yang juga wanita tempatan memberhentikan kenderaan dan memberi bantuan awal kepada mangsa.
Tambahnya, mangsa kemudian dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan sebelum pemandu kereta ke balai polis untuk membuat laporan.
“Siasatan kini dijalankan mengikut R6(1) LN 166/59. Polis mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelak kejadian kemalangan,” katanya.


