Ulang-alik ke Singapura boleh jejas terima STR – Chin Tong

RAKYAT Malaysia yang berulang-alik ke Singapura hanya layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekiranya memenuhi syarat ditetapkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk menetap dalam negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata sebelum ini timbul isu kelayakan STR ‘dibatalkan’ untuk warganegara yang kerap keluar masuk Singapura.

Berikut kenyataan penuh melalui Facebook beliau:

Beberapa kenalan di Johor Bahru telah bertanya saya sama ada rakyat Malaysia yang keluar masuk Singapura berhak mendapat bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

STR adalah satu inisiatif “kita jaga kita”, iaitu bantuan tunai bersasar oleh Kerajaan Malaysia khusus untuk warganegara Malaysia.

Pada masa yang sama, kerajaan bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia, termasuk pembayar cukai, untuk menjamin keadilan untuk semua. Bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan STR, semakan dibuat dengan integrasi data yang lebih menyeluruh melibatkan pelbagai agensi, termasuk Imigresen, bagi tujuan pengesahan maklumat.

Hanya warganegara yang memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan sahaja, termasuk menetap di Malaysia, berhak menerima bantuan. Penyaluran STR dikendalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Pendekatan ini dapat memastikan bantuan disalurkan secara adil, tepat sasaran, dan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

Sehubungan itu, apabila timbul isu kelayakan STR  “dibatalkan” untuk warga Malaysia yang kerap keluar masuk Singapura, ia sebenarnya tidak dibatalkan tetapi berstatus “Tidak Lulus” (di bawah Kod Alasan 31), iaitu pemohon atau pasangan menetap, bekerja, atau mengikuti pengajian di luar negara.

Ini bermakna warga Malaysia yang keluar dan masuk Singapura  8 kali dan lebih setiap bulan ditafsirkan sebagai bekerja di luar negara, dengan andaian individu itu berulang-alik setiap minggu.

Bagi membezakan di antara urusan sementara dan tinggal/bekerja di luar negara, LHDN menggunakan pendekatan berikut:

  • 1 hingga 7 kali sebulan: masih dianggap urusan biasa dan munasabah, seperti rawatan perubatan, kecemasan, tugasan jangka pendek atau urusan keluarga.
  • 8 kali dan ke atas sebulan: ditafsirkan sebagai tempoh signifikan berada di luar negara.

Namun begitu, Kerajaan Madani sentiasa prihatin dengan maklum balas dan terbuka untuk pertimbangan rayuan. Sebagai contoh, memang ada warganegara Malaysia yang perlu kerap keluar dan masuk Singapura kerana beliau bekerja sebagai pemandu bagi syarikat logistik tempatan.

Bagi warganegara yang terkesan dengan pelaksanaan dasar ini, mereka digalakkan untuk membuat rayuan yang dibuka sepanjang tahun 2026.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img