UMNO bersedia mendedahkan semua maklumat terperinci berhubung kutipan RM50 juta bagi membayar denda bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pihak berkuasa.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tabung kutipan dana yang diwujudkan di Ibu pejabat UMNO sudah ditutup selepas jumlah sumbangan mencapai sasaran ditetapkan.
Katanya, kutipan itu dilaksanakan menerusi kaedah pendanaan awam (crowdfunding) yang melibatkan ahli dan bukan ahli UMNO, selain sumbangan daripada cawangan, bahagian serta badan perhubungan negeri parti itu.
“Kita sedia untuk membuka semua maklumat terperinci hasil kutipan itu kepada pihak berwajib,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Anggota KEMAS Negeri Melaka, di Tanjung Kling, Melaka,lapor FMT.
Mengulas isu yang sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti bersedia diaudit pada bila-bila masa berhubung isu ketelusan kutipan dana tersebut.
Tegasnya, parti itu tidak mempunyai apa-apa perkara untuk disembunyikan kerana semua sumbangan yang diterima disalurkan melalui satu akaun khas.
“Kita bersedia untuk diaudit pada bila-bila masa kerana tidak ada apa yang kita hendak takutkan. Dari awal lagi kita sudah umumkan bahawa akaun ini hanya satu sahaja dan semuanya akan melalui akaun ini. Kalau hendak audit pun, auditlah akaun ini.
“Kita tidak ada masalah kerana kita boleh tunjukkan bagaimana transaksi sekecil-kecil RM20 daripada ahli berlaku setiap minit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Ceramah Gelombang Biru Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Tangga Batu hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, tempoh hampir tiga bulan diambil bagi memastikan jumlah kutipan dana mencukupi sebelum sasaran RM50 juta berjaya dicapai.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang hanya membangkitkan isu audit apabila kutipan dana dilakukan oleh UMNO dan BN.
“Harus berlaku adil. Kenapa apabila BN dan UMNO buat, hendak diaudit, tetapi ketika DAP buat dahulu, tidak pula diaudit?” katanya.





