MWC Doha: Malaysia cadang koridor digital bantu pembangunan semula Palestin – Fahmi

MALAYSIA  mengemukakan cadangan untuk mewujudkan koridor digital rentas sempadan bagi menyokong usaha pembangunan semula Palestin pascakonflik, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang kesalinghubungan digital dan ekonomi digital.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata inisiatif yang dicadangkan itu dapat menyediakan ruang kepada negara peserta untuk menyumbang kepada usaha pembangunan semula Palestin termasuk di Gaza, Ramallah dan Tebing Barat.

Beliau berkata idea itu tercetus susulan perbincangan dengan Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Palestin Huda Al-Wahidi tentang cabaran yang dihadapi negara berkenaan, terutamanya dalam membangunkan semula kawasan terjejas selepas konflik.

“Saya berbincang dengan timbalan menteri dari Palestin tentang cabaran yang dihadapi di Palestin, khususnya selepas konflik, antaranya ialah pembangunan semula, bukan sahaja di Gaza, tetapi juga di Ramallah dan Tebing Barat.

“Bagaimanakah kita boleh turut serta, mewujudkan satu koridor yang dapat membantu secara positif usaha pembangunan semula sebuah negara seperti Palestin?” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika sesi Digital Majlis Founding Roundtable, yang diadakan bersempena dengan Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026 di Doha hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata inisiatif Digital Malaysia dapat menyediakan platform kepada negara-negara untuk meneroka kerjasama rentas sempadan secara praktikal, dengan mengambil kira perbezaan keadaan ekonomi, kawal selia dan teknologi di setiap negara yang mengambil bahagian.

Usaha mewujudkan koridor digital, katanya, memerlukan pemahaman jelas tentang cabaran yang dihadapi oleh setiap pasaran termasuk kos kesalinghubungan, literasi digital, keselamatan dan kepercayaan.

Fahmi berkata cabaran berkenaan berbeza dengan ketara antara negara, justeru penting untuk mengenal pasti keperluan masing-masing sebelum mengenal pasti bidang kerjasama yang bersesuaian.

Beliau turut mencadangkan supaya Digital Majlis menubuhkan sekretariat kerja dalam tempoh 90 hari untuk menyelaraskan maklumat dan data daripada negara peserta.

Menurut beliau, sekretariat yang dicadangkan itu dapat membantu mengenal pasti peluang untuk mewujudkan koridor digital antara pasaran, bermula dengan inisiatif berskala kecil sebelum diperluas ke negara lain.

“Tempoh 90 hari pertama bukanlah penentu segala-galanya, sebaliknya lebih kepada satu pembuktian konsep sekiranya kita dapat melaksanakannya antara dua pasaran, maka kita boleh mempertimbangkan untuk meluaskannya,” katanya.

Fahmi berkata pendekatan itu juga perlu mengambil kira perbezaan pendapat setiap negara terhadap ekonomi digital dan keutamaan pembangunan masing-masing.

Beliau berkata penetapan prinsip asas kerjasama akan membantu membimbing Digital Majlis dalam menterjemahkan perbincangan kepada inisiatif yang praktikal.

Fahmi turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyumbang kepakaran melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyokong inisiatif tersebut.

Beliau berkata kerjasama sedemikian perlu memberikan tumpuan kepada usaha mengenal pasti dan menangani cabaran praktikal bagi membina masa depan digital yang lebih terhubung dan dinamik.

Sesi Digital Majlis Founding Roundtable, anjuran Global System for Mobile Communications Association (GSMA), menghimpunkan pemimpin kerajaan, penggubal dasar dan wakil industri telekomunikasi untuk meneroka peluang bagi memperkukuh kerjasama digital rentas sempadan.

Fahmi kini berada di Doha bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) dari 6 hingga 11 Nov.

Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here