MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan beliau tidak bercadang melepaskan jawatannya dalam masa terdekat, sekali gus menolak dakwaan yang mengaitkan perkara itu dengan kemelut adat dan istana di negeri berkenaan.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menyifatkan khabar angin mengenai peletakan jawatannya yang tersebar di media sosial sebagai spekulasi bermotifkan politik.
“Mainan politik saja tu… tak betul. Saya tak letak jawatan,” katanya ketika dihubungi pagi ini, lapor BH.
Dakwaan itu timbul susulan laporan sebuah portal berbahasa Cina yang mendakwa Ismail telah menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar.
Laporan berkenaan turut menyentuh kemelut pentadbiran Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan institusi istana dan masih belum menunjukkan penyelesaian.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Fasha Musthafa turut menafikan laporan berkenaan sambil menegaskan Ismail masih menjalankan tugas seperti biasa.
“Menteri Besar bertugas seperti biasa. Tidak benar laporan (dakwaan) itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias semalam meminta semua pihak memberi ruang kepada kepimpinan negeri untuk menguruskan kemelut berkenaan.
Jalaluddin yang pernah menjadi Exco Kanan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) turut menyatakan keyakinan bahawa isu itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Kemelut berkenaan memuncak apabila Istana Seri Menanti pada 20 September lalu mengumumkan penarikan balik pelantikan 10 Exco yang dilantik Ismail oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkembangan itu berlaku selepas Ismail dilaporkan menandatangani Proklamasi bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu, sehari selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ismail turut menjadi perhatian selepas Tuanku Muhriz menegurnya secara terbuka selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Beting, Juasseh, Kuala Pilah pada minggu lalu.





