Wang haram RM45 juta: Bekas Pengarah JANS didapati bersalah, isteri dan bekas timbalan bebas

BEKAS Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM45 juta, 10 tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu ke atas Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan Fauziah Piut, 61, iaitu isteri Ag Mohd Tahir atas 19 pertuduhan sama manakala bekas Timbalan Pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng, 72, yang berdepan empat pertuduhan serupa turut dibebaskan selepas mendapati pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Sementara itu, mahkamah melepaskan Ag Mohd Tahir dan isterinya atas dua pertuduhan bersama berkaitan pengubahan wang haram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016 dan 13 Oktober hingga 8 November 2016 di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Kes ini menarik perhatian kerana sudah berlangsung selama hampir sedekad. Ia adalah kes pengubahan wang haram terbesar di Sabah.

Kes itu menjadi tajuk utama pada 2016 apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan antara rampasan terbesar pernah direkodkan di Sabah membabitkan barangan berharga dan wang tunai berpuluh-juta ringgit.

Imej timbunan wang tunai dalam bilik dan bertaburan atas lantai yang tersebar meluas di media tempatan ketika itu menjadikan siasatan berkenaan antara skandal rasuah paling mendapat perhatian di negara ini.

Selepas beberapa siri penangguhan, perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 dengan pihak pendakwaan memanggil 46 saksi di hadapan Hakim Abu Bakar.

Pihak pembelaan kemudian memanggil 15 saksi termasuk beberapa individu yang pada awalnya ditawarkan pihak pendakwaan seperti bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T Rining dan Noorsyazwani Sapri, manakala Lam Beng pula diwakili peguam Tan Hock Chuan, Baldev Singh serta Kelvin Wong.

BERITA LANJUT MENYUSUL

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img