DISEBABKAN rasa tidak puas hati terhadap seorang wanita yang dikenalinya, seorang lelaki menghantar surat mengandungi daging babi berserta maklumat wanita tersebut ke beberapa masjid di Singapura.
Bill Tan Keng Hwee, 62 tahun, yang hadir ke mahkamah menerusi pautan video hari ini melakukan kesalahan itu kerana mahu penerima di masjid mengganggu wanita berkenaan.
Tan dijatuhi hukuman penjara setahun tiga bulan selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan melakukan perbuatan yang menyakiti perasaan keagamaan tiga pengadu beragama Islam, lapor Berita Harian Singapura.
Dia juga mengaku bersalah atas satu tuduhan gangguan yang melibatkan wanita tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Selene Yap berkata , tindakan tertuduh mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Tindakan sedemikian mesti menerima bantahan keras daripada mahkamah dan isyarat jelas perlu diberikan bagi menghalang orang lain daripada melakukan tingkah laku antisosial dan memecahbelahkan masyarakat seperti ini,’’ katanya.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Sharmila Sripathy-Shanaz berkata kes itu melibatkan tempat ibadat, sambil menegaskan kesalahan sedemikian boleh mencetuskan ketegangan agama dan mengancam ketenteraman awam di Singapura.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki warga Singapura itu berasa tidak puas hati terhadap wanita pada 11 September 2025.
“Dia kemudian merangka rancangan untuk menghantar surat yang mengandungi hirisan daging babi dan maklumat wanita tersebut ke beberapa masjid berbeza.
“Dia tahu daging babi akan menyinggung perasaan penganut Islam dan dia berniat supaya penerima di masjid tersebut menghubungi wanita berkenaan selepas menerima surat itu,” kata pendakwaraya dalam dokumen tersebut
Bagi menyiapkan surat itu, Tan membeli daging babi, kertas, sampul surat, selain menggunakan barangan lain yang ada di rumahnya.
Selepas menyiapkan surat berkenaan, dia menghantarnya melalui khidmat pos biasa pada 15 September 2025 ke tujuh masjid.
Ini termasuk Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris, Masjid Al-Abrar di Telok Ayer Street dan Masjid Ahmad di Lorong Sarhad, berhampiran South Buona Vista Road.
Tan memilih masjid tersebut secara rawak, kata Selene.


