WARGA emas antara dua ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM57.15 juta disyaki cuba diseludup ke negara jiran dalam serbuan di Parit Amat Laut, Muar, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Noor Azman Jamal, berkata lelaki dan wanita berusia 63 dan 43 tahun itu diberkas dalam serbuan pada 12.30 tengah malam oleh sepasukan Unit Risik Marin PPM Wilayah Dua Muar serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Muar.
Beliau berkata, dadah berkenaan dirampas hasil risikan pihaknya yang mengesan beberapa kenderaan dan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.
“Menerusi pemerhatian awal yang dijalankan, dilihat beberapa orang sedang memunggah sejumlah bungkusan disyaki dadah ke dalam bot. Pasukan seterusnya menyerbu dan menahan dua individu itu yang merupakan penghantar (bekalan),” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemukan 517 plastik disyaki mengandungi 549kg syabu, 191,268 pil ekstasi, dan 4,000 katrij dipercayai berisi cecair dadah disembunyikan dalam bot serta but kereta.
Noor Azman berkata, turut disita sebuah bot fiber dan dua enjin jenis Yamaha Enduro 85 kuasa kuda.
Katanya, pihaknya sedang menyiasat sekiranya terdapat individu lain terlibat dalam kegiatan itu selain dua individu tersebut yang mempunyai hubungan sebagai rakan.
Mereka direman seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


