POLIS menahan 11 individu dipercayai terbabit dalam dua kumpulan kongsi gelap susulan pergaduhan di Taman Alam Megah, Shah Alam, yang menyebabkan seorang lelaki maut pada 25 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lima daripada suspek direman selama tujuh hari, manakala enam lagi akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berkaitan perebutan kawasan antara dua kumpulan kongsi gelap di Shah Alam.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar.
“Semua suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an. Kami mengambil keterangan daripada beberapa saksi bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media, hari ini, lapor BH.
Shazeli berkata, berdasarkan maklumat diterima, polis percaya kumpulan berkenaan adalah kumpulan yang baru ditubuhkan.
“Kami masih menyiasat latar belakang mereka, termasuk mengenal pasti ketua kumpulan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, polis turut giat mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kumpulan kongsi gelap dan insiden pergaduhan itu.
Katanya, beberapa individu lain turut cedera dalam kejadian berkenaan dengan tiga daripadanya masih menerima rawatan di hospital.
Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki susulan pergaduhan beramai-ramai di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah, yang mengakibatkan seorang lelaki maut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah dilaporkan berkata, pihaknya menerima makluman selepas seorang awam melaporkan kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki.
Insiden berkenaan tular selepas rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan berhampiran lokasi kejadian tersebar di media sosial.
Rakaman berdurasi kira-kira satu minit itu memaparkan sekumpulan individu meluru keluar dari beberapa kenderaan sebelum menyerang seorang lelaki yang terbaring di atas jalan.





