11 maut, 16 cedera dalam kebakaran bangunan di Phuket

KEBAKARAN sebuah bangunan komersial empat tingkat yang menempatkan restoran dan penginapan sewa di pulau peranginan Phuket, Thailand awal pagi tadi mengorbankan 11 nyawa manakala 16 lagi cedera.

Kebakaran yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu memusnahkan keseluruhan bangunan rumah kedai berkenaan.

Seorang pegawai polis dari kawasan Patong berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal kebakaran sebelum menemukan 11 mangsa yang terkorban.

“Anggota bomba mengambil masa dua jam untuk mengawal kebakaran dan menemui 11 mangsa yang maut,” katanya kepada AFP.

Beliau berkata, mangsa yang terkorban terdiri daripada warga Thailand dan Myanmar manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Pegawai berkenaan yang enggan dikenali kerana tidak diberi kebenaran untuk bercakap kepada media berkata, 16 individu turut dibawa mendapatkan rawatan di hospital akibat terhidu asap dan mengalami kecederaan terkena serpihan kaca.

Insiden itu sekali lagi membangkitkan kebimbangan mengenai tahap pematuhan peraturan keselamatan dan kesihatan di Thailand, khususnya membabitkan premis hiburan seperti bar dan kelab malam.

Pada Julai lalu, kira-kira 40 orang dilaporkan maut selepas sebuah bar yang sesak di Bangkok terbakar akibat litar pintas, menurut pihak berkuasa.

Sebelum itu, kebakaran di kelab malam Santika di ibu negara ketika sambutan Tahun Baharu pada 2009 turut mengorbankan 67 nyawa dan mencederakan lebih 200 orang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here