12 daripada 51 tangkapan dadah di KLIA babit rakyat Malaysia

POLIS mengesahkan hanya 23.5 peratus daripada 51 individu yang ditahan berkaitan kes penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini membabitkan rakyat Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu, 12 adalah rakyat Malaysia, manakala baki 39 individu atau 76.5 peratus terdiri daripada warga asing.

Beliau berkata, keseluruhan 51 individu itu ditahan dalam 41 kes bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, dengan mereka terdiri daripada individu dari 13 negara.

“Seperti yang saya sebutkan dalam statistik tadi, bukan sahaja sindiket-sindiket ini menggunakan warganegara Malaysia.

“Warganegara Malaysia baru 12 kalau ikutkan daripada tangkapan 51 tahun ini. Selain daripada itu, (suspek) daripada negara-negara lain, jadi sindiket ini bukan sahaja tertumpu pada warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Menurut Hussein, pemegang pasport United Kingdom (UK) merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 14 orang, diikuti Malaysia seramai 12 orang dan Singapura lapan orang.

Ia diikuti pemegang pasport Perancis seramai lima orang; Indonesia, Hong Kong dan Jepun masing-masing dua orang; manakala Thailand, Ireland, Slovakia, India, Portugal dan Uganda masing-masing seorang.

Katanya lagi, daripada keseluruhan 51 individu yang ditahan, 36 atau 70.6 peratus adalah lelaki, manakala 15 atau 29.4 peratus wanita.

Mengikut pecahan 12 warganegara Malaysia pula, lima adalah India, masing-masing tiga Melayu dan Cina serta seorang lain-lain.

Hussein berkata, statistik itu menunjukkan sindiket dadah antarabangsa tidak hanya menggunakan rakyat Malaysia sebagai keldai dadah, sebaliknya merekrut individu daripada pelbagai negara.

Dalam 41 kes berkenaan, polis merampas keseluruhan 1.27 tan dadah dengan nilai rampasan RM96.9 juta.

Bunga ganja mencatatkan rampasan terbesar sebanyak 1.24 tan atau 98.18 peratus daripada keseluruhan berat dadah, diikuti methamphetamine 13.99 kilogram (kg), kokain 7.86 kg dan ketamin 1.32 kg.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here