SEORANG kru kapal warga asing cedera selepas dipercayai ditikam rakannya sendiri dalam kejadian pergaduhan di atas kapal MV Lucky Camelia, semalam.
Mangsa lelaki berusia 47 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian perut sebelum dipindahkan menerusi operasi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima permohonan bantuan pemindahan mangsa sekitar jam 8.52 malam.
Menurutnya, aset Maritim Malaysia, Penggalang 41, tiba di lokasi pertemuan kira-kira empat batu nautika dari pantai Tanjung Rhu pada jam 11.51 malam sebelum dimaklumkan berlaku pergaduhan membabitkan dua kru kapal.
“Hasil maklumat awal mendapati seorang kru ditikam di bahagian perut dalam pergaduhan itu.
“Seorang kru lelaki warga China berusia 36 tahun kemudian ditahan kerana disyaki terbabit dalam cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dan suspek dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum tiba kira-kira jam 1.15 pagi.
“Mangsa diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Suspek pula diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


