JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) gagal mengesan 19 warga asing yang dikaitkan dengan aktiviti Network School di Forest City, Johor.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada 430 warga asing yang dikenal pasti terbabit aktiviti Network School, 210 orang masih berada dalam negara dan 201 lagi dikesan telah meninggalkan Malaysia.
“Daripada jumlah itu, kita ada 19 orang yang tidak dapat dikesan pergerakannya. Mungkin mereka keluar secara tidak sah ataupun mereka juga masuk secara tidak sah.
“Perkara itu akan disiasat lanjut. Kita akan kesan sama ada mereka ini masih berada di dalam negara ataupun mereka sudah keluar,” katanya ketika ditemui selepas program Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di Cyberjaya hari ini, lapor Sinar Harian.
Kontroversi berhubung Network School tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan program itu di Forest City dengan mendakwa ia menarik usahawan asing, termasuk warga Israel yang menggunakan pasport negara kedua.
Antara dakwaan tular adalah soalan temu duga kepada bakal peserta menyentuh isu berkaitan Israel, teknologi ketenteraan dan politik, selain dakwaan inisiatif itu berpotensi menjadikan Forest City sebagai lokasi pertemuan usahawan mempunyai kaitan dengan Tel Aviv.
Susulan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Kementerian Dalam Negeri dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School.
Zakaria dalam pada itu berkata, dua pemeriksaan imigresen telah dijalankan di lokasi berkaitan, tetapi tidak menemukan perkara yang didakwa berhubung operasi Network School.
“Kita sudah membuat pemeriksaan terhadap 379 warga asing yang berada di Network School dan sehingga kini, dua kali pemeriksaan yang kita laksanakan, kita tidak menjumpai apa yang didakwa sebagaimana yang didakwa,” jelasnya
Menurutnya, semua warga asing itu menggunakan pasport sah dan sistem imigresen hanya dapat mengesan seseorang menggunakan pasport berlainan ketika keluar masuk negara.
“Kalau seseorang itu secara konsisten menggunakan satu pasport yang sama, sistem kita tidak dapat mengesan sama ada dia memiliki pasport lain.
“Namun, jika dia masuk menggunakan satu pasport dan keluar menggunakan pasport berbeza, sistem biometrik imigresen akan mengesannya secara automatik,” kata beliau.





