
BARISAN Nasional (BN) berpeluang membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mengambil kira kerjasama parti komponen itu dengan Perikatan Nasional (PN) yang semakin kukuh.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, maklum balas yang diterima daripada calon dan jentera menyatakan penyokong PN turut hadir membantu kempen calon BN dan sebaliknya.
“Ini petanda sangat baik dan saya harapkan ia akan berlipat ganda sehingga hari pengundian. Seterusnya gandingan ini akan menampakkan ikatan yang semakin mantap,” katanya ketika berkempen di Felda Pasoh 1, Simpang Pertang hari ini, lapor FMT.
Mengulas lanjut Jalaluddin berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan melancarkan manifesto gabungan itu pada Jumaat ini, yang akan memfokuskan pelbagai aspek, termasuk kesejahteraan rakyat, pembangunan negeri, ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, perumahan, belia, masyarakat Orang Asli serta pemeliharaan institusi Raja Melayu di Negeri Sembilan.
Beliau ketika ditanya mengenai manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan semalam, beliau mendakwa, sebahagian janji itu menggabungkan komitmen kerajaan negeri dengan tanggungjawab kerajaan persekutuan, menjadikan tawaran mereka kelihatan lebih menyeluruh.
Beliau bagaimanapun mengingatkan PH supaya tidak menawarkan janji yang sukar ditunaikan kerana rakyat kini lebih matang dalam menilai rekod prestasi dan pelaksanaan manifesto.
Ditanya tentang sasaran PH memenangi 23 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan pada 1 Ogos ini, Jalaluddin berkata, “Ia harus berasaskan kepada realiti. Kita tunggu dan lihat sama ada mereka mendapat 23 (kerusi) atau BN mendapat sekurang-kurangnya 23 kerusi,” katanya.






