Tamim Dahri didakwa rosakkan objek suci agama Hindu di Langkawi

SEORANG aktivis didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi hari ini atas pertuduhan merosakkan objek suci agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Muniswarar, Selat Panchor di Kuah pada 8 Mac lalu.

Tamim Dahri Abdul Razak, 34, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Hemy Annerina Haja Mydin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merosakkan tombak cabang tiga atau ‘soolam’ di tapak lama kuil berkenaan antara jam 3.30 hingga 6.30 petang dengan pengetahuan bahawa perbuatan memijak objek itu adalah menghina agama Hindu.

Tertuduh yang memakai baju T hitam dan seluar biru didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ain Nur Sofea Noridan manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan, lapor BH.

Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Tamim Dahri atas alasan bagi mengelak tertuduh melarikan diri dan memastikan kehadirannya sepanjang prosiding berlangsung.

Hanif membantah permohonan itu berikutan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan adalah kesalahan yang boleh dijamin.

Beliau menjelaskan, anak guamnya memberi kerjasama apabila pulang ke tanah air dan menyerah diri kepada polis, selain bersedia menyerahkan pasport serta melaporkan diri di balai polis mengikut syarat ditetapkan.

Mahkamah membenarkan Tamim Dahri diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi proses serahan dokumen. Ahli keluarga tertuduh kemudian membayar wang ikat jamin di kaunter Kompleks Mahkamah Langkawi.

Media sebelum ini melaporkan polis memohon pengeluaran Notis Merah Polis Antarabangsa bagi mengesan Tamim Dahri yang didakwa merosakkan objek suci agama Hindu di Langkawi pada 8 Mac lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, Tamim Dahri disenaraikan sebagai orang dikehendaki selepas gagal dikesan, manakala semakan mendapati dia meninggalkan negara sejurus kejadian sebelum kembali dan menyerah diri kepada polis minggu lalu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img