DUA jemaah haji Malaysia yang dirawat di hospital di Madinah dan Makkah dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, kedua-dua jemaah berkenaan yang juga warga emas dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung dan sesak nafas.
“Seorang jemaah lelaki berusia 72 tahun dimasukkan ke sebuah hospital di Makkah, manakala seorang jemaah wanita berusia 65 tahun dirawat di hospital di Madinah.
“Bagaimanapun, jemaah wanita itu sudah dibenarkan pulang,” katanya dalam sidang media di Makkah hari ini.
Mohd Hisham tidak menolak kemungkinan faktor cuaca panas dan keletihan menjadi punca dua jemaah itu dimasukkan ke hospital.
Beliau turut menasihatkan jemaah haji Malaysia untuk minum air dan rehat secukupnya selain menjaga keselamatan diri.
Operasi Haji 1447/2026 bermula secara rasmi pada 18 April lalu, dengan 31,600 jemaah haji Malaysia berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.


