TIGA maut manakala dua lagi parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Maran-Temerloh, berhampiran Kampung Paya Pasir di Maran awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa berkata, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 5.40 pagi melibatkan sebuah kereta dinaiki dua wanita dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki tiga lelaki.
“Kereta itu dalam perjalanan dari arah Temerloh ke Maran, manakala MPV dari arah bertentangan.
“Kedua-dua kenderaan dipercayai bertembung, menyebabkan pemandu dan penumpang kereta serta seorang penumpang MPV maut di tempat kejadian,” katanya, lapor BH.
Menurut Salahuddin, pemandu dan seorang lagi penumpang MPV turut mengalami kecederaan.
Beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran yang tiba di lokasi mendapati tiga mangsa tersepit dalam kedua-dua kenderaan.
Katanya, semua mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk bedah siasat dan identiti mereka belum dikenal pasti.






